Kita semua maklum, memulakan perniagaan kopi espresso sebenarnya memerlukan kos yang agak tinggi dan juga memerlukan staff yang mempunyai kemahiran dalam penyediaan kopi itu sendiri. Selain itu, kos lain juga melibatkan penyimpanan stok dan mencari lokasi yang strategik untuk menarik pelanggan.

Saya masih ingat ketika saya berkhidmat di INSKEN pada tahun 2015, kami pernah ada sesi penapisan dan penilaian pembentangan yang dijalankan oleh pelbagai pemain industri. Di situ, saya banyak belajar yang memulakan perniagaan pembuatan kopi dan kedai kopi memerlukan kos yang agak tinggi. Tetapi pada masa itu, konsep ‘pop-up store’ ini belum lagi mendapat tempat di hati masyarakat pada ketika itu. Pilihan yang ada pada masa itu, hanya kedai fizikal.
Walaubagaimana, bersesuaian dengan peredaran zaman, trend mendapatkan minuman kopi esperesso yang baik sekarang jadi lebih mudah apabila tidak perlu masuk ke kedai atau ‘shopping complex’. Tren yang semakin popular kini adalah penyediaan minum kopi ini dijalankan menggunakan konsep ‘pop-up store’ yang lebih nampak trendy dan mudah dikendalikan.
Apa itu Kedai Kopi “Pop Up Store“?
Kedai kopi “pop-up store” ialah kedai kopi yang dibuka dalam ruangan sementara yang selalunya juga dibuka dalam tempoh yang terhad. Konsep ini memberikan peluang kepada peniaga untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada peminat kopi terutama apabila mereka dalam peringkat permulaaan.
Beroperasi dengan konsep ini lebih mudah, melibatkan kos yang rendah dan juga mampu memaksimakan keuntungan atas sebab modal yang rendah. Usahawan juga dapat membuat validasi kehendak pelanggan dan juga kesesuaian perkhidmatan yang ditawarkan.
Bagaimana nak mulakan kedai kopi berkonsepkan “pop up store” ini?
Saya ada bertemu artikel menarik yang saya ingin kongsikan bersama untuk kita semua.
Ada enam perkara yang dinyatakan yang boleh anda jadikan panduan.
- Tentukan sasaran anda
Kita berniaga bukan sekadar menjual tetapi kita kena tentukan matlamat yang kita hendak cari. Adakah kita hendak bermula kecil supaya kita faham kehendak pelanggan atau kita mahukan kumpul data untuk membuat validasi kepada pelan jangka panjang. Contohnya, mungkin kita mahu tahu sama ada kita sesuai berniaga secara fizikal, secara e-store (melalui aplikasi grab, food panda atau sebagainya) atau kita perlukan kedai fizikal berpandukan kepada data yang kita miliki.
2. Cari Lokasi yang Sesuai
Cari lokasi yang benar-benar sesuai untuk anda menjual kopi ini kerana ia adalah minuman yang punyai daya tarikan yang baik untuk kumpulan tertentu. Di samping itu, pastikan sewa yang dikenakan juga mampu untuk anda tanggung dan tidak membebankan.
3. Reka bentuk ruangan anda
Cuba datangkan idea yang lebih santai atau nampak selesa di mata pelanggan. Untuk berbuat seperti itu, kita juga tidak perlu modal yang besar. Mungkin juga kita boleh mulakan dengan gunakan perabut terpakai dan lakukan transformasi daripada bahan kitar semula.
4. Dapatkan Permit yang Perlu
Seperti yang kita sedia maklum, bila kita hendak berniaga lakukan lah dengan cara yang betul supaya mudah untuk kita skalakan perniagaan nanti. Paling perlu, daftarkan perniagaan dengan SSM, simpan wang jualan dalam akaun perniagaan, dan juga lesen berniaga daripada pihak berkuasa tempatan.
5. Beli peralatan yang bersesuaian
Ukur baju di badan sendiri. Jika kita baru bermula kecil, belilah mesin espresso yang mungkin bukan yang untuk perniagaan komersial. Harga mesin ini boleh mencecah puluhan ribu mengikut kepada kapasiti dan kebolehannya. Harga juga berbeza mengikut jenama. Jadi kalau kita masih ‘test water’ mungkin boleh usahakan beli mesin kecil yang selalu digunakan untuk kegunaan rumah.
6. Jangan lupa buat ‘marketing’
Tiada ‘marketing’ maka tiada lah transaksi yang berlaku. Mudahkan.
Jadi kena benar-benar ada kerangka pemasaran yang boleh membawa pelanggan datang ke kedai anda. Jika tidak, anda akan penat dan setakat duduk di tepi jalan satu hari, berapa ramai orang yang benar-benar perasan kewujudan anda. Jadi maksimumkan kegunaan media sosial sebagai medium penghebahan mengenai perniagaan anda.
Saya benar-benar berharap, sedikit perkongsian ini buat kita lebih matang dan cemerlang dalam memilih perniagaan yang bersesuaian untuk kita ceburi.
Semoga berjumpa lagi, insyaallah.