Takut secara umumnya adalah situasi dimana minda anda dipengaruhi rasa tidak yakin dan apa yang ada fikirkan adalah menjuruskan kepada sisi negatif. Pada ketika ini juga anda harus segera sedar bahawa terlalu lama berada dalam situasi TAKUT boleh membawa kepada kemurungan, hilang pertimbangan diri, lemah keyakinan an lebih membimbangkan, ada yang menghadapi masalah mental.
Untuk membolehkan anda BERJAYA, keinginan untuk berjaya perlu lebih BESAR daripada takut GAGAL
Bill Cosby

Kajian yang dijalankan oleh Global Entrepreneurship Monitor (GEM) memberi fokus untuk memahami faktor dan sokongan seseorang untuk menjadi usahawan menerusi pelbagai aspek dan salah satunya adalah persepsi diri mereka mengenai keusahawanan. Ia diukur dengan pemerhatian bagaimana mereka mereka melihat peluang di sekeliling mereka dan dalam masa yang sama adakah mereka memilih untuk tidak menjadi usahawan kerana takut gagal.
Apa peranan TAKUT kepada usahawan?
Perasaan TAKUT & Usahawan seperti tidak dapat dipisahkan. Statistik yang saya perolehi daripada lama web startupnation melaporkan bahawa sebanyak 35.2 peratus usahawan daripada Amerika Syarikat mengalami ketakutan kegagalan. Artikel menarik yang saya baca baru-baru ini daripada Harvard Business Review membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai topik ini. Kajian yang dijalankan menyentuh aspek takut yang pada kebiasaannya dan saya selalu kongsikan, hakikatnya tidak ramai usahawan pemula berjaya melepasi tahap awal perniagaan yang mencabar kebolehan mereka daripada pelbagai sisi seperti produk & perkhidmatan, pemasaran, pengurusan dan juga kewangan.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pengkaji keatas 65 usahawan mendapati bahawa takut boleh menjadi faktor yang menghalang dan mendorong. Oleh itu, mempunyai rasa takut boleh menghalang seseorang daripada menjadi usahawan dan kepada yang lebih positif, takut terhadap kegagalan boleh mencetus usaha kepada kejayaan seseorang itu menjadi usahawan.
Ada tujuh sumber takut yang mereka temui daripada kajian di atas iaitu:
- Jaminan kewangan mereka
- Keupayaan untuk membiayai perniagaan mereka
- Keupayaan diri sendiri
- Potensi idea mereka
- Ancaman dan penerimaan sosial
- Keupayaan menjalankan operasi perniagaan mereka
- Kos peluang (opportunity cost)
Ada Empat (4) Cara yang di gariskan untuk membantu mengatasi rasa TAKUT gagal.
Dalam satu artikel yang lain, ditulis oleh Susan Peppercorn dalam artikel di Harvard Business Review, ada empat cara yang digariskan yang saya rasakan boleh membantu ramai usahawan mengatasi rasa takut.
- Takrif semula maksud kegagalan buat anda
Ini adalah satu kebolehan yang boleh anda pelajari sendiri atau jika tidak yakin boleh dapatkan khidmat coach untuk menyokong anda. Dalam erti kata lain, ada gunakan tekik ‘framing‘ atau pembingkaian. Pembingkaian ialah teknik berstruktur yang dibina berdasarkan kepercayaan yang anda miliki tentang diri anda, peranan anda, keadaan anda dan tentang orang lain.
2. Tetapkan matlamat sasaran anda bukan mengelak daripada matlamat
Ramai yang apabila mereka gagal, tanpa memiliki minda pembingkaian yang betul akan cuba lari daripada sasaran kerana bimbang gagal lagi. Ada yang memilih mengelak dan ada juga yang memilih untuk bertangguh sahaja dan cari alasan demi alasan untuk tidak mencuba lagi.
3. Buat senarai apa yang anda takut dan apa yang lebih menakutkan jika anda lakukan.
Saya rasa yang ini menarik sebab bila bercakap psal takut macam-macam ada dalam kepala tetapi bercampur aduk. Ambil masa untuk buat senarai dan saya yakin anda akan paksa diri anda betul-betul berfikir mana yang anda benar-benar takut berkaitan perniagaan. Kemudian, langkah seterusnya, daripada senaria tersebut ambil mana yang hampir tercabut nyawa bila anda lakukan. Ini akan berikan anda satu lagi pendekatan untuk nampak dengan jelas mana yang perlu anda tangani dahulu dan semestinya kena selarikan dengan faktor yang paling penting, impak kepada untung rugi perniagaan.
4. Fokus untuk belajar daripada kegagalan
Ambil masa dan reflek sebab anda gagal daripada terus menghukum keadaan dan biarkan rasa takut terus menyelubungi anda. Gagal adalah satu pengalaman terbaik tetapi selain daripada itu cuba cari ilmu sampingan seperti hadir ke majlis ilmu dan cari guru / mentor yang mampu membantu anda. Hanya dengan berbuat demikian, kita akan mampu memperkemaskan kelemahan dan mampu berhadapan perasaan takut dengan yakin.
Saya harap perkongsian di atas berikan sedikit sebanyak maklumat kepada anda yang setia membaca perkongsian saya.
Semoga ada rezeki kita berjumpa lagi dan doakan saya sihat supaya boleh menulis selalu untuk anda.