Kewujudan ekonomi perkongsian banyak dipacu oleh keupayaan syarikat pemula atau ‘Start-up‘ berpotensi tinggi. Cradle Fund memaklumkan sejak tahun 2003 sehingga 2018, ada lebih 800 individu dan syarikat pemula niaga berasaskan teknologi di Malaysia . Ini secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada 80,600 pekerja sepenuh masa dan menyumbang sejumlah RM3.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
‘Start-up‘ berpotensi tinggi ini mencorak ekonomi perkongsian ini melalui dua cara iaitu:
- Model Perniagaan yang Mengganggu atau ‘Distruptive Business Model’ iaitu menggunakan inovasi untuk mengubah rangkaian atau rantaian nilai (value chain) sedia ada
- Membuka segmen baru – mereka mengenal pasti jurang dan keupayaan yang terdapat dalam rangkaian sedia ada dan mencari segmen baru yang belum diterokai oleh ekonomi perkongsian dengan membina platform bersesuaian.
Kita juga bangga dengan pencapaian ‘startup‘ tempatan yang setanding dengan startup di negara-negara maju. Menurut Laporan Permulaan Ekosistem Global 2020 (GSER2020) oleh Startup Genome, Kuala Lumpur menduduki tempat ke 10 dalam kategori ekosistem baru dalam prestasi dan ke 20 dalam kategori ekosistem pengembangan bakat. Anda boleh rujuk senarai 20 startup yang dibiayai di Malaysia di SINI.

Ciri – ciri Startup Berpotensi Tinggi
- Pernigaan ini adalah dibiayai oleh modal teroka atau pelabur budiman (angel investors). Modal yang diperolehi adalah besar dan modal teroka selalunya melabur dalam jumlah besar dan mensyaratkan kondisi pulangan yang tinggi kepada startup.
- Model perniagaan adalah dipandu dengan ‘harvest plan’ atau plan strategi untuk keluar. Selalunya ia dilakukan dalam pelbagai cara seperti menjual perniagaan ini kepada syarikat yang lain atau melalui penyenaraian ke bursa saham.
- ‘Harvest plan’ memberikan satu garis panduan untuk syarikat mengawal selia perkembangan dengan pantas dan seringkali mempunyai beban hutang yang tinggi.
- Mempunyai struktur organisasi yang dinamik, diterajui beberapa individu yang mempunyai kepakaran tertentu berbakat & lebih cenderung dipelopori bakat muda (young talent)
- Risiko operasi terdedah kepada eksploitasi daripada innovasi baru, patent dan lain-lain.
- Pernigaaan berkembang pantas dan berkembang di banyak lokasi dalam tempoh yang singkat
Sumber Pembiayaan Startup Berpotensi Tinggi

Startup selalu dikaitkan dengan keupayaannya untuk bertahan ‘survive’ lebih-lebih lagi apabila teknologi yang akan dibawa memerlukan kos permulaan yang tinggi.
Dalam fasa ini, pembiayaan untuk startup boleh dibahagikan kepada dua komponen besar iaitu (i) fasa sebelum ‘breakeven’ dan (ii) fasa selepas ‘breakeven’.
- Dalam fasa pertama, selalunya, pembiayaan adalah melalui sumber peribadi, ‘seed capital’ atau pelabur persendirian. Pada fasa awal ini, permulaan menggunakan modal untuk membina produk yang mencukupi dan mengupah pasukan untuk menjana pendapatan.
- Dalam fasa kedua, pembiayaan kemudiannya diperolehi melalui modal teroka, pakatan strategik, penggabungan dan pengambilalihan yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan startup. Apabila syarikat sudah mampuesto menjana pendapatan, pembiayaan alternatif menjadi pilihan seperti pengumpulan dana masyarkat berasaskan ekuiti (Equity Crowdfunding) dan pinjaman ‘crowdlending’ boleh diambil untuk fasa seterusnya.
Risiko Startup Berpotensi Tinggi
Startup juga terdedah kepada risiko gagal pada tahap awal yang dikenali sebagai ‘valley of death’. Salah satu faktor yang menyumbang adalah kerana pada tahap ini, startup perlu melalui tahap ‘proof of concept’ atau ‘pembuktian konsep’. Dalam fasa ini juga, pelbagai cabaran harus dilalui meliputi aspek teknologi, infra, memahami kehendak pengguna dan ada sesetengah startup berdepan dengan cabaran perundangan.
Insyaallah, saya akan kongsikan dengan lebih lanjut mengenai ekonomi perkongsian dan ekosistem yang menyokong pertumbuhannya pada [Bahagian 3].
Nantikan!